Tuesday, April 5, 2016

SAMBUNGAN SENI BINA KAPAL

Kesimpulannya, arkitek kapal perlu membuat pengiraan untuk menentukan saiz yang sesuai bagi tugas yang bakal dilakukan oleh kapal yang sedang direkabentuk. Di samping itu, arkitek kapal menganggarkan kestabilannya, kuasa pendorongan yang diperlukan, kekuatan dan saiz struktur kapal seperti ketebalan plat, rasuk dan kerangka, kesan ombak ke atas kapal dan seumpamanya. Jenis peralatan yang bakal dipasang, bahan yang bakal digunakan dan susunatur pelbagai ruang dan perlatan juga ditentukan melalui ilmu senibina kapal. Dalam kepesatan perkembangan ekonomi dan pembangunan di negara kita, industri pembinaan kapal juga giat berkembang. Keperluan kapal untuk pengangkutan kargo, keperluan pertahanan dan aktiviti lain memerlukan industri pembinaan yang produktif dan mampu bersaing. Keperluan kepada tenaga terlatih dalam bidang senibina kapal amat perlu. Sejak sekian lama, bidang Senibina Kapal hanya boleh diikuti di luar negara Universiti-universiti di Jepun, United Kingdom, Amerika dan negara-negara Scandinavia biasanya menawarkan kursus Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Senibina Kapal dan juga pengajian lanjutan di peringkat Sarjana dan Kedoktoran. Mulai tahun 1981, Universiti Teknologi Malaysia telah menawarkan kursus di bidang Teknologi Marin yang merangkumi Senibina Kapal pada peringkat Ijazah dan Diploma. Kurikulum kursus-kursus ini meliputi mata-matapelajaran asas kejuruteraan seperti Statik, Dinamik, Hidrodinamik dan Mathematik. Matapelajaran Statik mengkaji daya-daya yang perlu bagi mewujudkan keseimbangan pada satu badan manakala Dinamik pula mengkaji pergerakan jirim dan daya-daya menyebabkan pergerakan tersebut. Daya-daya yang bertindak ke atas atau di dalam cecair dikaji di dalam matapelajaran Hidrodinamik. Mata-matapelajaran asas ini dikukuhkan dengan matamatapelajaran pengkhususan Senibina Kapal yang meliputi mata-matapelajaran Hidrostatik dan Kestabilan Kapal, Rintangan dan Pendorongan Kapal, Dinamik Gerakan Kapal, Struktur dan Getaran kapal dan Rekabentuk Kapal. Sesudah tamat pengajian, graduan arkitek kapal boleh berkhidmat dengan syarikatsyarikat pembinaan atau perunding perekabentuk kapal. Di syarikat pembinaan kapal, arkitek kapal bertugas sebagai perekabentuk di bahagian rekabentuk kapal atau sebagai penyelia pembinaan yang memastikan pelan-pelan arkitek kapal difahami dan dipatuhi semasa pembinaan. Di syarikat perunding perekabentuk kapal, arkitek kapal bertugas membuat pengiraan-pengiraan bagi kapal atau bot yang diperlukan oleh pelanggan. Graduan juga boleh bekerja dengan syarikat perkapalan atau agensi-agensi kerajaan yang menggunakan kapal atau bot dalam operasi mereka seperti Jabatan Laut, Polis Marin dan Tentera Laut. Arkitek kapal yang berkhidmat di agensi kerajaan dan syarikat perkapalan biasanya bertugas sebagai penasihat dan perantara yang mampu mengimbangkan kehendak pengguna kapal dan keupayaan syarikat pembinaan. Arkitek kapal menggunakan pelbagai alat dalam tugas mereka. Pada zaman bidang ini mula diperkenalkan, perkakas asas yang digunakan ialah peralatan mengira dan melukis. Kapal-kapal yang direkabentuk diuji dengan membuat model dan mengujinya di makmal yang mempunyai tangki tunda. Ujian ini akan memastikan kapal yang dibina nanti memenuhi ciri-ciri prestasi yang dikehendaki. Seperti juga bidang teknologi yang lain, bidang senibina kapal juga sedang pesat berkembang. Kini lukisan dan pengiraan dilaksanakan dengan bantuan komputer. Melalui penyelidikan dan ujian di makmal, pelbagai kaedah dan teknik baru ditemui untuk menjadikan kapal dan struktur lain yang terapung di laut lebih selamat, selesa, menjimatkan dan membawa lebih manfaat kepada manusia.

No comments:

Post a Comment